Tesla Model 3 hilang, pemilik guna aplikasi untuk tumpaskan pencuri

Mengikut anggaran, sebuah kereta dicuri setiap 40 saat di Amerika Syarikat pada tahun lepas, namun pemilik Tesla Model 3 ini enggan menyerah sehingga menjumpai semula keretanya.

Dia tidak menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula keretanya, tetapi dengan teknologi yang ada, dia mampu sentiasa berhubung dengan keretanya walaupun ia telah dicuri.

Menurut A Current Affair Australia, ketika kejadian, pemilik Tesla Model 3 tersebut iaitu Annabelle Brett sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja dan menyedari penggera keretanya tidak berfungsi.

Dia kemudian meminta rakannya untuk memeriksa Model 3 tersebut, sebelum diberitahu ianya telah dicuri.

Jika berlaku kes seperti ini, kebanyakan individu akan segera memanggil pihak polis.

Namun dengan aplikasi Tesla yang ada pada telefon pintarnya, Brett berjaya mengesan keretanya yang sedang bergerak tidak jauh dari kawasan rumahnya. Dia dan rakannya kemudian segera mengejar pencuri sambil menghubungi pihak berkuasa.

Melalui aplikasi, Brett juga mampu mengawal tetapan keretanya, dengan menurunkan tingkap dan mempunyikan hon, sama seperti yang biasa dia lakukan ketika memandu.

Panik dengan situasi tersebut, pencuri akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan kereta milik Brett dan melarikan diri. Rupa-rupanya dalam mereka ‘sibuk’ melarikan diri, salah seorang pencuri tercicir lesen memandu, yang memudahkan pihak berkuasa menjejaki mereka.

Brett juga memiliki bukti kukuh tentang kecurian keretanya, melalui Sentry Mode yang terdapat pada Tesla Model 3.

Pihak berkuasa dengan mudah menjejaki kesemua pencuri tersebut dan mereka semua difahamkan telah ditangkap.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *