Tarik perhatian pihak bertanggungjawab, lelaki ini mandi dan memancing dalam lubang jalan

Sebuah lubang besar yang terdapat di jalan raya yang terletak di Lombok, Indonesia, akhirnya telah mendapat perhatian dan diambil tindakan oleh badan bertanggungjawab.

Ini kerana, tular di media sosial video dan gambar seorang lelaki sedang mandi dengan santai dan memancing di lubang itu.

Lubang besar yang sering dipenuhi air itu adalah salah satu daripada lubang-lubang yang terdapat di jalan raya sekitar bandar berkenaan, dan jalan raya tersebut sering mengalami kesesakan lalu lintas.

Walaupun telah banyak kali dilaporkan, isu itu diabaikan oleh pihak berkuasa dengan terlalu lama, mendorong beberapa individu untuk melakukan pelbagai aksi pelik untuk menarik perhatian.

Salah satunya adalah video oleh seorang lelaki bernama Amaq Ohan yang dilihat duduk selamba di dalam lubang besar yang dipenuhi air sambil berpakaian.

Dia kemudian dilihat menggunakan bekas plastik untuk menyiram dirinya dengan air berlumpur tersebut sambil membasuh dirinya dengan sabun, sementara pengguna jalan raya lalu lalang di sebelahnya.

Sebuah gambar yang dikongsikan lelaki itu pula menunjukkan dia sedang duduk memancing di lubang itu. Menurut rakannya yang merakam video dan gambar tersebut, lubang-lubang besar di jalan raya berkenaan telah banyak kali menyebabkan kemalangan.

Selepas posting Ohan tular di media sosial, pihak berkuasa tempatan akhirnya tampil untuk mengambil tindakan.

Seorang pegawai mengesahkan proses membaik pulih jalan raya akan dijalankan dan menolak dakwaan penduduk tempatan bahawa tindakan yang mereka ambil terlalu terlambat.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *