Tak sampai seminit serah kunci, Kia Carnival ini terus remuk melanggar tembok!

Pemilik Kia Carnival di India mengalami nasib malang apabila kereta baharu yang dibelinya dari pusat pengedar melanggar tembok selepas proses serahan kunci.

Apa yang menyedihkan, kereta tersebut rosak setelah tidak sampai seminit pemilik tersebut memandunya.

Berdasarkan video yang dimuat naik oleh saluran Youtube BMC HD Videos, hasil daripada rempuhan itu, beg udara pada Kia Carnival tersebut dilihat meletup.

Pada mulanya, pemandu Kia Carnival yang seakan teruja dengan kereta baharunya memandu kereta tersebut keluar dari pusat pengedar tanpa bantuan kakitangan yang bertugas.

Malangnya, dia menekan pedal minyak terlalu dalam, dan menyebabkan MPV tidak dapat dikawal lalu merempuh tembok.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian sangat terkejut dan menghampiri pemandu dan MPV baharu tersebut. Walaupun MPV baharunya rosak, pemandu tersebut bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Secara keseluruhan, MPV yang ruangan dalamnya masih di dalam bungkusan tersebut remuk pada bahagian hadapan, termasuk pada bonet dan bampar. Terdapat titisan air pada bahagian bawah MPV tersebut, kemungkinan berpunca daripada radiator yang bocor.

Di India, Kia Carnival merupakan pesaing bagi Toyota Innova Crysta, dan berharga pada Rs. 24.95 lakh (RM137k). MPV ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.2-liter VGT yang mampu menghasilkan 197bhp dan 440Nm tork.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *