MILDEF HMAV4X4 – Kenderaan perisai mobiliti tinggi buatan Malaysia!

MILDEF International Technologies (MILDEF), sebuah syarikat tempatan telah memperkenalkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi 4×4 yang direkacipta dan dibangunkan oleh mereka sendiri.

Diberi nama MILDEF HMAV4X4, ia akan dipasarkan untuk pengguna tempatan dan antarabangsa.

Menurut syarikat yang berpengkalan di Kuala Lumpur itu, MILDEF HMAV4X4 berkemampuan merentasi pelbagai bentuk halangan muka bumi, serta mempunyai keupayaan tinggi di dalam sebarang situasi pertempuran.

Ia juga dibina berlandaskan pelantar modular dengan rangkaian spesifikasi daripada yang asas sehingga yang paling canggih untuk memudahkan sebarang pengubahsuaian dan memenuhi spesifikasi mana-mana negara yang ingin menggunakan aplikasi tersebut.

70 peratus komponen badannya (casis, badan, dan sistem enjin) dibuat di negara ini sementara baki 30 peratus (gandar, transmisi dan enjin) diimport.

HMAV4X4 boleh dilengkapi dengan sistem persenjataan moden bersama grenade launcher selain menampilkan sistem Remote Control Weapon Station (RCWS) yang membolehkannya menembak 360-darjah dalam pertempuran.

Dari segi perlindungan, kenderaan perisai ini dilengkapi perlindungan perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perlindungan perisai badan Stanag 4569 Level 2 untuk melindungi kru di dalam kenderaan tersebut.

MILDEF HMAV4X4 dipacu oleh enjin Caterpillar – pembekal enjin jentera berat – yang memberikannya nisbah kuasa-kepada-berat sebanyak 24hp/tan.

Sementara itu berat bersih HMAV4X4 ialah kira-kira 11,000kg, manakala berat maksimanya ialah 14,000kg.

Kereta perisai ini juga didatangkan dengan spring gegelung untuk keluasan kabin dan keselesaan, dan Central Tire Inflation System (CTIS) untuk kawalan tekanan angina tayar.

Pintu belakang MILDEF HMAV4x4 pula dilengkapi sistem hidraulik yang menjadikan kenderaan 4×4 ini unik dan versatil serta sesuai digunakan di dalam misi ketenteraan dan bersiap sedia untuk diatur gerak dalam mana-mana misi pengaman seperti misi PBB.

Menurut Dato’ Sri Mohd Nizam bin Kasa, CEO MILDEF, syarikatnya menghabiskan RM16 juta untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan.

“Kami menyasarkan untuk mengganti kenderaan Condor Tentera Darat yang sudah mencapai usia 30 tahun namun jumlah unit masih belum dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar di Pusat R&D MILDEF semalam.

Dalam pada itu, Mohd Nizam memaklumkan, HMAV4X4 akan dibawa untuk pandu uji di seluruh negara oleh tim penilaian Tentera Darat pada hujung bulan ini dengan fasa akhir ujian di Gemas, Negeri Sembilan.

Katanya, pihak MILDEF telah mengesahkan tempahan lebih daripada 100 unit kenderaan itu daripada beberapa negara Asia Tenggara dan Asia Barat.

Ketika menjelaskan idea di sebalik pembuatan kenderaan berperisai 4×4 Malaysia yang pertama ini, Mohd Nizam berkata, “Sebelum ini, kita terlalu bergantung kepada pembekal antarabangsa dan ini sering menimbulkan isu apabila tiba keperluan untuk servis selepas jualan.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, Malaysia perlu membina kenderaan berperisainya sendiri. Pada tahun 2016, MILDEF menyedari bahawa kami mempunyai kapasiti untuk melakukannya.

“Kemajuan di dalam teknologi pembuatan merupakan salah satu sebab kami memulakan proses pembinaan kenderaan kami sendiri dengan mengambil inspirasi daripada rekabentuk kenderaan berperisai 4×4 terbaik yang lain di merata dunia.

“Cabaran kami adalah untuk menunjukkan kepada pemain industri bahawa sebuah syarikat Malaysia mampu untuk merekacipta dan membangunkan kenderaan yang berupaya untuk bergerak pantas di pelbagai bentuk muka bumi dan boleh mencapai kelajuan lebih daripada 110km sejam,” tambahnya.

MILDEF merupakan salah satu syarikat terulung yang membekalkan khidmat servis automotif kepada industri pertahanan di Malaysia.

Pasukan MILDEF terdiri daripada individu-individu yang berkemahiran tinggi dengan pengalaman yang luas di dalam semua aspek yang berkaitan dengan mesin berat.

Ditubuhkan sebagai Kembara Suci Sdn. Bhd. pada tahun 2005 dengan visi menjadi sebuah syarikat yang memberi impak besar kepada pasaran serantau.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *