Mercedes-AMG A45 S tak cukup power? Ini dia Brabus B45!

Mercedes-AMG A45 S merupakan hot hatch paling berkuasa di dunia, dimana ia dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder yang mampu menghasilkan 415hp.

Namun, penala dari Jerman, Brabus kini memperkenalkan versi naik taraf dari hot hatch tersebut, yang diberi nama sebagai Brabus B45.

Hasil naik taraf yang dilakukan oleh Brabus, enjin A45 S yang menghasilkan 415hp dan 500Nm tork kini mampu menghasilkan sehingga 443hp dan 550Nm tork.

Peningkatan kuasa ini diperolehi dari perisian baharu, sementara unit kawalan tambahan BRABUS PowerXtra CPC, adapter BRABUS BoostXtra dan penapis udara baharu yang disertakan mampu menghasilkan bunyi yang mirip sebuah kereta lumba.

Sama seperti model standard A45 S, Brabus B45 dilengkapi dengan transmisi automatik dwi-klac AMG Speedshift DCT 8G, sistem pacuan semua-roda (AWD) AMG Performance 4MATIC+ dan sistem pengagihan tork AMG Torque Control, yang dilengkapi dengan Drift Mode.

Brabus B45 mampu memecut dari dari 0-100km/j dalam masa 3.7 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 270km/j. 

Dari segi penampilan, Brabus B45 hadir dengan rim Brabus Monoblock kustom bersaiz 20-inci yang disertakan bersama tayar Continental 255/40 ZR 20. Hot hatch ini juga kini duduk 30mm lebih rapat kepada tanah, hasil daripada sistem suspensi boleh laras yang disertakan.

Brabus tidak menyatakan dengan terperinci kos untuk naik taraf yang telah dilakukan, kerana kos tersebut akan berubah mengikut pilihan tertentu dari dari pelanggan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *