Harga catalytic converter meningkat punca semakin kerap dicuri, kereta hibrid lebih berisiko!

Semua kereta hari ini mempunyai catalytic converter atau penukar bermangkin dalam sistem ekzos. Ia digunakan untuk mengurangkan kesan buruk dari pelepasan asap dan mempunyai bahan besi seperti palladium, rhodium dan platinum.

Maka dengan itu, elemen-elemen besi ini sangat bernilai. The New York Times melaporkan palladium contohnya, berharga kira-kira USD500 (RM2,018) lima tahun lepas, kini berharga sekitar USD2,500 hingga USD3,000 (RM10,900 hingga RM12,108).

Ini menyebabkan kes kecurian komponen sistem ekzos ini di United Kingdom (UK) semakin meningkat. Dan untuk pengetahuan anda, rhodium dikatakan bernilai USD20,000 (lebih RM80k!) untuk satu auns. Ini lebih mahal dari emas!

Kes kecurian yang meningkat ini bukan sahaja di UK, tetapi juga di negara ini. Beberapa bulan lepas, PDRM menumpaskan satu sindiket curi penukar bermangkin ini melibatkan dua lelaki di Puchong.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Assisten Komisioner Razali Abu Samah, hasil siasatan terhadap suspek mendapati setiap satu ekzos yang dicuri suspek akan dibeli dengan harga lingkungan RM350 hingga RM650 mengikut jenis kenderaan.

Kembali di UK, sesetengah pemilik kenderaan telah membuat beberapa cara bagi menyukarkan kerja pencuri. Antaranya adalah mengurangkan tekanan angina tayar agar kenderaan lebih rendah.

Di California pula, mereka yang terlibat dalam urusan jual beli catalytic converter dikehendaki mengambil gambar atau video sesiapa yang menjualnya, di samping menyimpan kad pengenalan dan dokumen-dokumen berkaitan.

Menurut laporan The New York Times lagi, antara kereta paling teruk menjadi ‘mangsa’ kecurian ini adalah Toyota Prius. Ini kerana kenderaan hibrid lebih jarang menghidupkan enjinnya, maka catalytic converter padanya berkeadaan lebih baik dan kandungan elemen bernilai di dalamnya lebih tinggi.

Untuk pengetahuan, kereta telah diwajibkan untuk dipasang catalytic converter sejak tahun 1970an.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *