Belanja RM200,000 semata-mata untuk motosikal retro

48

Rela leburkan hampir RM200,000 demi memenuhi minat membeli 11 motosikal retro. Demikian yang dilakukan Kamsani Kamarudin, 38, bagi memastikan dia memiliki semua motosikal retro idamannya bersama aksesori berkaitan.

Imej: NSTP

“Motosikal pertama saya ketika itu menelan belanja RM15,000. Kini, saya ada 11 motosikal seperti Yahama RD YP 250, RD LC 350, TZR 3XV, RXK, SDR200, Suzuki GP atau Jipang dan TRS,” katanya ditemui di rumahnya.

Imej: NSTP

Kamsani bukan saja menjadi pengumpul tegar, malah rumahnya turut dicat bertemakan warna motosikal Yamaha RD 350 YPVS yang dipopularkan pelumba legenda Kenny Roberts.

“Saya bermula pada 2004 dengan membeli Yamaha TZR 1KT (pari) 250cc dan ubah suainya kepada warna motosikal Kenny Roberts iaitu kuning, hitam dan putih.

Imej: NSTP

Menurutnya, dia memilih warna dipopularkan Kenny Roberts sebagai penghormatan kepada pelumba legenda terbabit.

“Dia memang idola saya. Jadi, bagi mencari kelainan terhadap hobi ini saya mula mengecat rumah dan mengumpulkan semua aksesori berkaitan seperti jaket, topi keledar, topi, sarung tangan, beg galas serta baju. Aksesori itu saja dekat RM30,000 saya belanjakan sepanjang 13 tahun bergelar pengumpul.

Imej: NSTP

“Sebelum boleh cat rumah sebegini, saya beli jiwa isteri terlebih dulu. Awal pembabitan dia sukar terima, namun lama kelamaan isteri mula memahami minat dan hobi saya,” katanya yang mempunyai tiga anak.

Ditanya cabaran pengumpul sepertinya, Kamsani mengakui, harga barangan atau alat ganti kenderaan retro yang tinggi dalam pasaran sedikit sebanyak memberikan masalah buat mereka.

Imej: NSTP

“Motosikal pertama saya, proses pembelian hingga siap ubah suai sekitar RM15,000. Kini, untuk proses sama menelan belanja sehingga RM25,000. Malah, motosikal retro seperti Yamaha RD YP yang dijual di pasaran mencecah sehingga RM40,000.

“Saya nasihatkan peminat industri permotoran yang mula berjinak supaya mengukur kemampuan sendiri. Bikin (ubah suai) motosikal memang perlukan jiwa dan mental yang kental terutama daripada segi kos.

“Ukur kemampuan kita, tidak perlu terlalu bergantung (alat ganti) baru atau tulen, perkara paling penting adalah menghidupkan kembali ‘bangkai’ ke jalan raya dan jadikan permotoran sebagai jambatan silaturahim,” katanya.

Katanya, motosikal Yamaha RD seperti ‘pisang goreng panas’ dalam pasaran di Malaysia.

“Apatah lagi selepas motosikal itu digunakan Jamal Abdillah dalam filem Azura pada 1984,” katanya.

Kamsani berkata, selain membabitkan diri dalam jelajah amal di seluruh negara dengan kumpulan permotoran, pengumpul motosikal retro sepertinya juga menantikan perhimpunan tahunan Retromania yang dijadualkan berlangsung pada 13 dan 14 April depan.

“Retromania mengumpulkan semua peminat industri permotoran. Ia juga platform terbaik untuk mengukuhkan silaturahim sesama kami,” katanya.

Komen anda mungkin membantu