Bugatti bakal persembahkan hypercar paling mahal untuk Ferdinand Piëch

96

Pada RM12.5 juta, anda rasa Bugatti Chiron sudah cukup mahal? Syarikat pengeluar hypercar itu dikatakan sedang menyiapkan sebuah hypercar yang lebih unik dan mahal. Harganya? €16 juta bersamaan RM73.55 juta!

Imej: Carbuzz

Hypercar itu akan dipersembahkan di Geneva Motor Show tahun ini. Satu tweet oleh pengumpul kereta Kris Singh mendakwa bahawa hypercar itu bakal menjadi milik eksklusif Ferdinand Piëch.

Siapa Ferdinand Piëch?

Imej: The Truth About Cars

Jadi siapa Ferdinand Piëch yang sangat kaya ini? Beliau ialah cucu kepada Ferdinand Porsche, pengasas, erm, Porsche…

Jurutera dan eksekutif ini pernah menjawat jawatan pengerusi untuk lembaga eksekutif Volkswagen Group pada 1993 hingga 2002. Dia juga merupakan pengerusi lembaga pemerhati kumpulan sama pada 2002 hingga 2015.

Piëch memulakan kariernya di Porsche sebelum pergi ke Audi selepas perjanjian bahawa tiada ahli keluarga Porsche atau Piëch boleh terlibat dalam operasi syarikat Porsche.

Dia bertanggungjawab menjadikan Volkswagen Group sebuah gergasi automotif seperti hari ini. Piëch memainkan peranan besar dalam membeli Lamborghini dan Bentley, serta menubuhkan Bugatti Automobiles. Dia kemudiannya menyatukan semua ini dengan Volkswagen, Skoda, SEAT dan Audi.

Imej: CAR magazine

Berkelulusan sebagai seorang jurutera, Piëch juga terlibat secara aktif dalam pembangunan beberapa kenderaan penting seperti Porsche 911, Audi Quattro dan Bugatti Veyron. Dengan pengaruhnya, Piëch telah menerima anugerah Car Executive of the Century pada 1999.

Piëch diketahui memiliki beberapa buah Bugatti Veyron dan antara unit terawal Bugatti Chiron. Untuk hypercar termahal ini, kami belum mempunyai maklumat lanjut mengenainya seperti spesifikasi malah nama.

Bugatti juga sebenarnya tidak pernah membina model bespoke atau terhad. Jadi, agak menarik untuk melihat bagaimana rupa hypercar super-eksklusif ini nanti.

Rolls-Royce Sweptail. Imej: Rolls-Royce

Jika model ini menjadi realiti, ia akan jadi kereta baharu termahal pernah dihasilkan, memecahkan rekod yang dipegang oleh Rolls-Royce Sweptail yang berharga €13 juta.

Komen anda mungkin membantu