Memminger Roadster 2.7 ialah Beetle sporti berenjin tengah

0
 
IKLAN

VW Beetle moden telah dihentikan produksinya dengan pengenalan Final Edition sebagai “penutup”. Ia berenjin depan dan sangat berlainan dengan Beetle klasik asal yang berenjin belakang.

Namun jangan bersedih jika anda merasa tidak sempat membeli Beetle baharu. Anda masih boleh membelinya jika anda ada wang – err wang yang banyak – kerana Memminger menawarkan Beetle mereka sendiri.

Memminger Roadster 2.7 ialah sebuah Beetle sporti berenjin tengah dengan kombinasi sentuhan moden dan klasik. Memminger iaitu sebuah syarikat talaan dari Jerman telah membentuk semula casis Beetle untuk meletakkan enjin 2.7-liter 4-silinder boxer sejukan udara di tengah. Enjin berkuasa 210 hp dan 247 Nm tork itu dipadan dengan transmisi manual 5-kelajuan.

Konfigurasi enjin tengah ini juga bermakna Roadster 2.7 ini merupakan model dua tempat duduk sahaja, berbanding Beetle asal lima tempat duduk. Berat keseluruhan roadster ini hanyalah 800 kg dan ia mampu dipecut melebihi 200 km/j.

Baca:   Porsche 935 ‘Moby-Dick’ versi moden

Komponen brek adalah dari model Porsche berenjin sejukan udara juga, namun tidak dinyatakan secara spesifik model mana. Memminger Roadster 2.7 dilengkapi roda 18-inci dengan tayar 225/45 di depan dan 255/40 di belakang.

Untuk penggayaan, Roadster 2.7 direka dengan tema minimalis. Sepasang tempat duduk bucket retro diberikan balutan kulit dan fabrik. Stereng pula ialah tiga-batang dan terdapat juga susunan meter analog.

Porsche 911 Speedster

Secara keseluruhan, dengan cermin depan lebih rendah seperti “dipotong” dan ruang belakang tempat duduk diletakkan bar golekan, Memminger Roadster 2.7 nampak seperti Porsche 911 Speedster versi lebih kecil.

Setakat ini, harganya belum diketahui, namun hanya 20 unit dikatakan akan dibina. Jadi kami rasakan harganya pasti agak tinggi.

Apa kata anda?

avatar