Perodua catat 20,100 unit jualan pada Jan 2019, daftar 1,025 Aruz sehari

87

Perodua telah mencatat 20,100 unit jualan kenderaan pada Januari 2019. Dari jumlah ini, sebanyak 1,025 unit adalah model Aruz.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr. Zahari Husin berkata, “Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangkamasa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.”

Berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 17,700, unit jualan untuk tahun ini merupakan pertumbuhan sebanyak 13.6 peratus.

Menurut Dr. Zahari lagi, sebanyak 8,000 unit tempahan Aruz telah diperoleh setakat ini. Respon yang baik juga telah memanjangkan tempoh menunggu bagi model SUV itu.

Beliau menambah bahawa dari kesemua jumlah tempahan, 85 peratus adalah dari varian Advance manakala baki 15 peratus untuk varian X.

“Mengenai spekulasi peningkatan harga bagi Perodua Aruz, saya ingin menjelaskan bahawa kami akan mengekalkan harga Aruz (tanpa insuran) yang bernilai RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 untuk varian Advance,” kata Dato’ Dr. Zahari.

Model-model lain juga turut mengungguli segmen masing-masing dengan Axia, Bezza dan Alza dijual lebih 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit pada bulan Januari.

Komen anda mungkin membantu