Toyota GR Supra kini sedia berentap dengan Porsche 718 Cayman

0
 
IKLAN

Selepas intipan dan imej-imej bocor, Toyota akhirnya melancarkan secara rasmi GR Supra, model yang dinanti-nanti tahun ini. Ya, ada nama GR di depannya, iaitu model global Toyota GAZOO Racing yang pertama.

Seperti diketahui umum, Toyota GR Supra ini telah dibangunkan bersama BMW dimana syarikat Jerman itu menghasilkan model Z4 mereka.

Di belakang Supra ialah sejarah dan warisan lebih 50 tahun model sports dan GT Toyota, dan di depannya ialah selekoh-selekoh litar lumba dan jalan touge menanti.

Dibentuk oleh emosi dan perlumbaan

Toyota GR Supra membawakan rekaan badan yang unik dengan penghormatan kepada model-model sebelumnya. Sebagai contoh, rekaan bumbung ‘buih berkembar’ dari model 2000 GT dan lampu belakang nipis dari A80 Supra.

Secara umum, rekabentuknya tidak lari jauh dari konsep FT-1 yang mula dipertonton kepada umum beberapa tahun lepas.

Reka bentuk functional

Reka bentuk Supra mengutamakan keseimbangan berat 50:50 depan ke belakang sambil mengoptimakan keseimbangan aerodinamik. Ia ditafsirkan dalam bentuk GT yang mempunyai hud depan panjang.

Baca:   Perlumbaan Toyota Vios Challenge di TGR Festival Pulau Pinang hujung minggu ini

Lampu depannya terdiri dari lampu LED enam-lensa yang berfungsi sebagai lampu belok dan DRL. Bamparnya diambil sedikit dari inspirasi Formula Satu. Di belakang pula, terdapat spoiler belakang melengkung dan bampar trapezoidal yang memfokus kepada pergerakan dinamik kepada tayar.

Kokpit membaluti pemandu

Pereka Toyota mengambil pendekatan baharu untuk Supra ini dimana permukaan-permukaan di kokpit direka agar dekat dengan pemandu. Rekaan seolah-olah ‘membaluti’ pemandu ini memberikan rasa pemanduan sporti.

Ruang penglihatan depan juga memastikan pemandu dapat melihat jauh ke hadapan dan boleh memposisikan kereta dengan tepat di selekoh. Untuk paparan maklumat pemanduan pula, rekaan meter tunggal memberikan maklumat perlu sahaja untuk pemanduan, disertai paparan yang jelas.

Supra terbaharu ini dibangunkan untuk menjadi kereta sports harian dan juga litar. Untuk itu, tempat duduknya direka agar sporti dan berinspirasikan perlumbaan, namun tidak berkompromi untuk keselesaan. Pilihan sama ada kulit atau Alcantara akan ditawarkan.

Prestasi

Enjin yang memacu Supra ialah unit 3.0-liter turbo enam-silinder sebaris. Ia menjana 335 hp dan 495 Nm tork dimana tork hadir dengan kuat pada putaran enjin yang rendah. Ini dicapai dengan penggunaan pengecas turbo twin-scroll, suntikan terus bahan api dan pemasaan boleh-ubah.

Baca:   10 kereta yang ditayang di Paris Motor Show

Transmisi automatik 8-kelajuan boleh digunakan dalam mod manual jika diingini, dengan penukaran naik dan turun gear yang sporti. Pecutan 0 hingga 100 km/j dijangka dicapai dalam 4.1 saat sahaja dan kelajuan maksima dihadkan pada 250 km/j.

Dua mod pemanduan – Normal dan Sport – menyelaraskan kawalan kestabilan, respon pendikit minyak, berat stereng dan cara penukaran gear. Ekzos dan penalaan pembeda aktif juga berubah mengikut mod dipilih.

Casis hasil pembelajaran di litar

Toyota GAZOO Racing mempunyai visi yang spesifik untuk Supra. Matlamat utama mereka adalah dengan ketegaran struktur yang tinggi, pusat gravity rendah dan imbangan 50:50 berat. Berbeza dengan Z4, Toyota juga menala secara khas spring dan penyerap hentak untuk suspensi Supra ini.

Di depan, subframe dan titik lengan kawalan sangat tegar untuk memberikan karakteristik belokan yang tepat. Beberapa komponen juga diperbuat dari aluminium untuk mengurangkan berat dan memberikan kelincahan.

Baca:   Toyota dan Subaru akan bangunkan MR2 baharu dengan 300hp?

Begitu juga untuk suspensi multi-link di belakang, lengannya adalah aluminium dan subframe-nya dibina cukup tegar untuk kawalan roda yang tepat.

Roda 19-inci dibalut dengan Michelin Pilot Super Sport 255/35 di depan dan 275/35 di belakang. Untuk berhenti atau mengurangkan kelajuan dengan efektif, satu set Brembo digunakan.  

Keselamatan dan kemudahan pemanduan

Toyota GR Supra dilimpahi dengan ciri yang memudahkan pemanduan seperti keyless smart entry, climate control dua zon automatik, kamera belakang, cermin sisi berkuasa dan stereng dengan balutan kulit.

Unit infotainment pula adlaah paparan 6.5-inci dengan sambungan Bluetooth dan iPod. Varian Premium akan mendapat skrin sesentuh 8.8-inci bersama navigasi, Supra Connect, Apple CarPlay, sistem audio JBL dan pengecaj telefon pintar tanpa-wayar.

Aspek keselamatan pasti tidak ditinggalkan. Standard pada GR Supra adalah amaran pelanggaran depan, brek kecemasan automatik, amaran tersasar lorong dengan bantuan stereng dan lampu tinggi automatik.

Terdapat juga sistem keselamatan aktif seperti cruise control adaptif, pemantauan titik buta dan amaran perlanggaran belakang.

Apa kata anda?

avatar