Rolls-Royce mengambil jurutera Formula E untuk hasilkan kapal terbang elektrik paling laju

62

Sebelum anda merungut bahawa ini bukan kereta, harus diingat Rolls-Royce merupakan pengeluar kereta dan juga enjin pesawat. Syarikat United Kingdom itu dilaporkan bakal membina kapal terbang elektrik dengan kelajuan maksimum lebih 300 batu sejam (480 km/j).

Imej: Rolls-Royce

Menurut Rolls-Royce, ini bukanlah suatu publisiti, tetapi sebahagian dari inisiatif mereka yang dipanggil ACCEL, “accelerating the electrification of flight”. Ia bertujuan menyokong gelombang ketiga dunia penerbangan iaitu dengan penggunaan tenaga elektrik.

Mereka berkata, ia tidak mudah dan harus membina sesuatu yang ringan, cukup penyejukan dan berkuasa. Rolls-Royce akan menggunakan 6,000 sel bateri yang dipakej supaya mempunyai pengurusan haba yang baik.

Sel 750 volt itu akan memacu tiga motor elektrik ringan yang menjana 500 hp keseluruhan. Kipasnya juga akan berpusing pada rpm yang lebih rendah untuk penerbangan lebih senyap dan selesa (biasalah, Rolls-Royce kan).

Terdapat juga banyak pengesan yang menyelia 20,000 data setiap saat. Ini termasuklah voltan bateri, suhu dan beberapa parameter prestasi lain. Pesawat ini dijangka memulakan penerbangannya pada 2020 dan mampu mencapai jarak 320 km – cukup untuk penerbangan London ke Paris.

Imej: Siemens

Pesawat elektrik sepenuhnya ini bakal menjadi pesawat paling laju di dunia, mengalahkan kapal terbang Siemens yang memegang rekod itu sejak 2017. Pesawat Siemens itu mencapai kelajuan maksimum 210 batu sejam (336 km/j).

Difahamkan juga, untuk mencapai matlamat ini, jurutera aerodinamik terbaik dari serata United Kingdom dipanggil. Selain dari jabatan-jabatan di Rolls-Royce, pasukan jurutera ini juga datang dari komuniti sukan bermotor (Formula E).

Komen anda mungkin membantu