7 kereta sports terakhir berenjin NA yang masih anda boleh beli

197

Beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan kenderaan telah menggunakan enjin turbo kerana tahap kecekapan bahan api yang baik. Pada masa yang sama, masih mampu memberi output seperti enjin naturally-aspirated (NA) berkapasiti lebih besar.

BMW M5 2018 dengan V8 4.4-liter.

Kenderaan prestasi dan sports juga telah beralih dari NA kepada turbo. Antaranya BMW M5, Honda Civic Type-R, Aston Martin Vantage, Porsche 911 Carrera dan keseluruhan barisan Mercedes-AMG. Peralihan ini tetap dilakukan walaupun enjin NA generasi sebelumnya disukai ramai.

Namun jangan khuatir, masih ada beberapa model prestasi yang menggunakan enjin NA.

  1. Ford Mustang

Imej: PerformanceDrive

Walaupun terdapat varian 2.3-liter Ecoboost turbo, Ford masih menawarkan varian dengan enjin 5.0-liter V8 NA.

Pujian juga harus diberikan kepada Chevrolet kerana model prestasi seperti Corvette dan Camaro juga masih menggunakan konfigurasi NA.

  1. Lexus LC 500

Imej: Motor1

Lexus suka buat kejutan. Tengah jual model sedan sporti, tiba-tiba keluar satu supercar liar berkuasa tinggi.

Bukan sahaja dengan Lexus LC 500 ini, kira-kira sedekad yang lepas syarikat Jepun ini menghasilkan LF-A yang menggunakan teknologi komposit aeroangkasa sehingga mereka tak buat untung pun dengan kereta itu.

  1. Porsche 911 GT3

Porsche 911 GT3 2018 di Litar Antarabangsa Sepang.

Sebelum ini Porsche 911 Carrera, 911 GT3 dan GT3 RS adalah NA, hanya 911 Turbo, 911 GT2 dan GT2 RS yang menggunakan enjin turbo.

Sekarang, Porsche 911 Carrera yang asas pun sudah menggunakan turbo, walaupun tidak setinggi kuasa model-model seperti GT3, GT3 RS, Turbo, dan GT2 RS. Langkah ini tidak dapat dielakkan kerana pelbagai faktor seperti kecekapan bahan api dan piawaian antarabangsa.

Namun, Porsche berjanji bahawa mereka akan mengekalkan 911 GT3 (dan 911 GT3 RS) dengan enjin NA. Varian ini adalah paling dekat dengan versi perlumbaan 911 GT3 RSR. Inilah bagusnya apabila ketua bahagian motorsport-nya adalah pemandu tegar.

  1. Audi R8 V10

Imej: Audi Canada

Senarai ini tidak akan lengkap tanpa Audi R8 dengan enjin V10-nya yang sangat merdu. Ya, mungkin V10 turbo akan lebih berkuasa, tapi kemerduan bunyi NA yang stim itu tiada tandingannya.

Dan ya, enjin V10 pada Audi R8 ini adalah dari Lamborghini Huracan. Tapi tunggu, kerana ada model Lamborghini lain dalam senarai.

  1. Lamborghini Aventador SVJ

Imej: Motor Authority

Tiada jenama lain yang paling sinonim dengan enjin NA berkapasiti besar melainkan Lamborghini. Enjin 6.0-liter V12 ini adalah merupakan enjin yang telah digunakan oleh Miura pada 70-an.

Aventador SVJ ialah versi lebih ekstrim Aventador yang sudah ekstrim. Hmm ibarat Aventador itu tak mencukupi…

Aventador SVJ ini juga bukan sahaja salah satu pemegang rekod catatan masa terpantas di Nurburgring, malah akan menjadi Aventador terakhir. Ia akan diganti dengan supercar flagship V12 serba baharu tidak lama lagi.

  1. Ferrari 812 Superfast

Imej: Car and Driver

Ferrari telah beralih ke turbo untuk model sports V8 enjin tengah mereka; 458 Italia ialah V8 NA terakhir dan diganti dengan 488 GTB yang mendapat V8 turbo.

Namun syarikat Itali itu seperti keberatan untuk meninggalkan NA untuk supercar V12 berenjin depan mereka. Malah, V12 terkini itu merupakan antara enjin terbaik pernah mereka hasilkan.

Selain dari bunyi yang boleh membuatkan anda meremang bulu roma, V12 ini juga merupakan enjin NA paling berkuasa di dunia. 789hp dihantar pada tayar belakang sahaja!

  1. Aston Martin Valkyrie

Imej: Red Bull

Ya, ia masih belum dilancarkan. Tapi dengar sahaja bunyinya di dalam video di bawah. Itu bukanlah bunyi enjin F1 tahun 1990-an, tetapi enjin yang akan diberikan pada Valkyrie.

Enjin V12 NA dari Cosworth itu menghasilkan 1,000hp pada 11,000rpm! Ingatkan VTEC pada K20A pergi 9,000rpm tu dah cukup tinggi…

Komen anda mungkin membantu