Perodua terus tingkatkan rangkaian jualan

56

Perodua, melalui pengedar jualannya, DMM Sales Sdn Bhd, memindahkan bilik pamerannya di Mid Valley ke lokasi yang baharu di Menara MBMR, Jalan Syed Putra.

Ia dalam usaha mereka untuk menggandakan kapasiti jualannya. Pada masa yang sama memberi penekanan yang lebih terhadap kepuasan pelanggan.

Pengerusi Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd, En Aqil Tan Sri Ahmad Azizuddin berkata, bilik pameran jualan baharu itu seluas 6,900 kaki persegi.

“Ia lebih daripada dua kali lebih besar berbanding dengan lokasi lama kami, memberikan ruang bilik pameran yang lebih luas dan selesa,” katanya

Ditubuhkan pada 20 Januari 1995, DMM Sales Sdn Bhd adalah satu anak syarikat Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd. Ia adalah pengedar terbesar Perodua dengan 17 bilik pameran, 13 pusat servis dan dua pusat badan & cat di seluruh Malaysia.

DMM Sales Sdn Bhd menyumbangkan sebanyak 10.6 peratus secara purata kepada jualan tahunan Perodua sejak lima tahun yang lalu.

Menara MBMR juga menempatkan MBM Resources Berhad, sebuah kumpulan syarikat automotif dengan pelbagai pelaburan dalam industri automotif. Ia juga pemegang saham perdagangan utama bagi Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd.

Upacara perasmian pada petang tadi turut dihadiri oleh Pegawai Eksekutif Urusan Kanan Daihatsu Motor Co Ltd, Datuk Shigeharu Toda dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, pihaknya memuji komitmen yang ditunjukkan oleh DMM Sales Sdn Bhd.

“Dengan persaingan pasaran yang semakin meningkat, kami menghargai inisiatif seumpama ini.

“Ia bukan sahaja akan memberi sumbangan positif kepada jualan kami tetapi juga akan menaiktaraf pengalaman pelanggan kami terhadap jenama Perodua,” katanya.

Baca juga artikel lain:

>> Perodua tayang model konsep Myvi GT di KLIMS

Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan bahawa jualan Perodua setakat 10 bulan pertama tahun 2018 telah mencapai 187,731 unit. Ia meningkat 11 peratus daripada 168,071 kenderaan yang dijual dalam tempoh sama tahun lepas.

Berdasarkan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 502,244 unit dari Januari-Oktober 2018, bahagian pasaran Perodua berada pada 37.4 peratus.

Sila like page Facebook kami motoqar.my untuk mengetahui info automotif tempatan dan global.

Komen anda mungkin membantu