Tayar konsep Oxygene dari Goodyear mampu bersihkan udara

56

Tayar konsep yang direka ini masih lagi sama bentuknya, ia bulat, ia berpusing untuk bergerak dan menampung berat kereta.

Sementara syarikat tayar lain mencari alternatif untuk menghasilkan sebatian yang lebih baik dan menghasilkan tayar yang mampu mencengkam dengan baik, tapi Goodyear mempunyai idea yang lebih menarik.

Goodyear mempunyai idea yang sangat berbeza untuk tayar yang akan digunakan pada masa hadapan. Goodyear mahu menghasilkan tayar yang mampu membersihkan kualiti udara maka terhasil idea untuk mencipta tayar yang dinamakan Oxygene.

Ia akan dilengkapi dengan kehadiran lumut yang akan berada bahagian dinding tayar. Struktur tayar Oxygene yang terbuka dan reka bentuk bunga yang unik akan membantu lumut menyerap kelembapan semasa tayar bergerak.

Lumut sama seperti tumbuhan lain mengambil karbon dioksida (CO2) daripada udara dan membebaskan oksigen. Hal ini yang akan membantu meningkatkan kualiti kebersihan udara.

Goodyear menganggarkan bandar seperti Kota Paris yang mempunyai kepadatan hampir 2.5 juta kenderaan. Dengan adanya tayar Oxygene, ia mampu menghasilkan 3,300 tan oksigen dan menyerap sebanyak 4.400 tan karbon dioksida setiap tahun.

Syarikat itu juga merangka proses untuk membina tayar ini dengan efisien. Tayar konsep Oxygene ini akan dibina dalam bentuk 3D menggunakan serbuk getah yang dibuat daripada tayar terpakai. Melalui cara ini, ia akan mengurangkan pengunaan bahan semula jadi.

Goodyear juga merancang untuk tayar itu mempunyai kuasa elektriknya sendiri termasuk pelbagai sensor, dan juga jalur dengan lampu LED pada bahagian tepi tayar.

Goodyear masih lagi tidak memberitahu bila mereka akan menghasilkan tayar seperti ini. Namun mereka berkata ia merupakan proses latihan dalam penyelesaian kejuruteraan yang akan melengkapkan mobiliti pada masa hadapan.

 

Komen anda mungkin membantu