Ford Ranger baharu dengan enjin lebih padu

72

Ford Motor Company bersama Sime Darby Auto Connexion (SDAC) yang merupakan rakan pengedarnya melancarkan Ford ranger yang lebih padu. Ia merupakan trak pikap yang menampilkan teknologi terkini, ciri keselamatan dan kemudahan yang mendahului kelasnya.

Ranger baharu ‘Built Ford Tough’ ini dibina dengan keupayaan mengharungi laluan lasak. Ia sememangnya dapat memenuhi keperluan tugas dan gaya hidup pengguna.

Ford kali ini menampilkan rangkaian model Ranger yang lebih segar melibatkan Sembilan varian berbeza. Varian tersebut ialah varian XL, XLT, XLT+, Wildtrak baharu dan yang paling ditunggu-tungu, Ranger Raptor. Raptor akan dilancarkan secara rasmi pada acara Kuala Lumpur International Motor Show 2018, November ini.

“Kami tahu bahawa pelanggan di Malaysia mahukan trak pikap mereka mempunyai kelasakan seperti sebuah trak.  Disamping keselesaan dan ciri-ciri termaju seperti sebuah kenderaan penumpang. Kami yakin barisan model Ranger baharu dapat menawarkan versatiliti yang luar biasa, membantu mereka mencapai kejayaan yang lebih lagi, sama ada di tempat kerja atau ketika bersama keluarga,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Bin Syed Faiz.

Rangkaian Kuasa Termaju untuk Prestasi Terbaik, Teknologi Canggih

Kali ini Ford Ranger hadir dengan tiga rangkaian kuasa diesel yang lebih versatil. Ia dapat memenuhi keperluan pelanggan mengikut kesesuaian keadaan dan pilihan mereka. Enjin ini termasuklah 2.0L Single-Turbo dan 2.0L Bi-Turbo, selain enjin Duratorq 2.2L.

Enjin diesel generasi baru Ford menggunakan material-material termaju dengan binaan yang sofistikated. Kompak, ringan, berkuasa dan efisien, itulah perkataan yang sesuai  untuk menggambarkan enjin yang digunakan.

Ia hadir dengan ciri suntikan terus bahan api rel sepunya, satu pancarongga pengambilan dan pacuan talisawat-dalam-minyak utama.

Enjin diesel 2.0L Bi-Turbo generasi baharu dipasang secara eksklusif pada varian Wildtrak 4×4. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan untuk menawarkan kuasa tork, fleksibiliti, senyap dan pemanduan yang lebih selesa.

Respon yang lebih baik, pemanduan dan kecekapan maksimun ditawarkan pada enjin 2.0L Bi-Turbo  yang memanfaatkan pengecasan turbo secara berjujukan. Sepasang pengecas turbo digunakan untuk prestasi dan kecekapan maksimum.

Pengecas turbo geometri boleh ubah diaplikasikan untuk menawarkan maklum balas pendikit yang lebih baik dan menghapuskan jeda dengan cara mengili dengan pantas pada kelajuan rendah. Manakala unit kedua ialah pengecas turbo geometri tetap dengan kapasiti laluan lebih tinggi untuk menjana kuasa dan prestasi maksimum.

Enjin Bi-Turbo menawarkan julat tork yang lebih baik menerusi kotak gear 10-kelajuan nisbah pendek yang menghasilkan kuasa tork 500Nm dari serendah 1,750rpm. pendek. Ia mengurangkan jurang kuasa danpecutan untuk membuatkan usaha mendaki laluan bukit yang curam dan licin dengan lebih mudah.

Enjin turbo tunggal 2.0L boleh didapati pada varian Wildtrak 4×2 dan Ranger XLT+ baharu. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan termaju Ford untuk menawarkan kuasa 180PS dan tork 420Nm yang mengagumkan.

Enjin turbodiesel 2.2L pula boleh didapati pada Varian XL dan XLT yang menawarkan kuasa 160PS/385Nm. Ia kemudian dipadankan dengan transmisi manual dan automatik enam kelajuan.

Wajah Ranger baharu yang lebih Segar

Perubahan dari segi gayaan mantap di atas laluan lasak serta tarikan visual model sedia ada ditampilkan pada penampilan baharu Ranger yang rugged dan menarik. Ia tampil dengan rekaan gril baharu lebih bersih yang diserlahkan melalui reka bentuk tersendiri.

Untuk penampilan yang lebih seimbang, rekaan bahagian bawah bamper kini dilengkapi corong pengambilan udara lebih besar. Varian Ranger Wildtrak dan XLT+ dipasang dengan lampu nyalaan siang LED dan lampu utama jenis HID untuk suluhan cahaya yang lebih terang.

Perbezaan di antara model-model Ford kini lebih ketara.  Ia dapat dlihat pada kemasan pada bamper dan warna yang menunjukkan karekter unik setiap model. Kemasan krom pada Ranger XLT dan kemasan Monument pada Ranger Wildtrak menjelaskan posisi unik setiap model dalam rangkaian Ranger.

Ciri-Ciri Keselamatan

Dari segi keselamatan pula ia dilengkapi dengan Sistem Brek Kecemasan Autonomi Inter Urban (Autonomous Emergency Braking) dengan Pengesan Kenderaan dan Pejalan Kaki.

Sistem yang direka untuk mengesan pejalan kaki dan kenderaan serta memastikan Ranger berhenti sepenuhnya demi membantu mengelak pelanggaran dari arah belakang dan pejalan kaki. Sistem ini berfungsi pada kelajuan 3.6km/j ke atas.

Selain itu, Amaran dan Bantuan Keluar Laluan (Lane Departure Warning & Assist), Kawalan Meluncur Bolehsuai (Adaptive Cruise Control) dan Amaran Pelanggaran Depan (Forward Collision Warning) terus ditawarkan pada Ranger baharu. Ia merupakan ciri pertama serta satu-satunya dalam kelas trak pikap.

Bagi varian Wildtrak pula, ciri Parkir Selari Separa Automatik (Semi-Automatic Parrallel Parking) Ford juga dipasang. Pemandu hanya perlu menukar gear dan menekan brek, sistem kemudian akan membawa Ranger masuk ke dalam ruang parkir secara automatik.

Lebih Lasak, Pintar

Proses memunggah barang kini menjadi lebih mudah dengan varian Wildtrak dan XLT+ menerusi pengenalan ciri Pengangkat Pintu But (Easy Lift Tailgate). Ia merupakan sistem yang pertama serta satu-satunya dalam kelas trak pikap.

Pintu belakang Ranger kini lebih ringan untuk diangkat dan kurang 70 peratus tenaga diperlukan untuk menutupnya dengan mekanisme dalaman baharu.

Misi kawalan

Bagi misi kawalan pula, ranger dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci serta butang penghidup enjin (keyless entry and push-start button) pada varian XLT+ dan Wildtrak. lasak.

Dengan kemasan permukaan sentuhan yang lasak dan tahan lama,ruang dalaman Ranger yang luas itu mengguna tona berwarna hitam. Elemen kemasan kontras seperti krom dan jahitan benang berwarna perak memberikan ruang ini rasa yang lebih premium.

Yang paling menarik, SYNC® 3 pada varian Ranger XLT+ dan Wildtrak adalah serasi dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Ia turut hadir dengan ciri Bluetooth dan skrin sentuh warna sepenuhnya bersaiz 8-inci. Varian Wildtrak juga dilengkapi sistem navigasi satelit binaan dalam yang penting apabila Ranger berada di luar kawasan liputan telefon bimbit.

Suspensi Ranger baharu telah dinaik taraf untuk meningkatkan aspek kawalan olengan, seterusnya menambah baik pengalaman memandu apabila membawa beban yang penuh dan menunda.

Pakej baru juga membolehkan aspek geometri diubah untuk memperbaiki pemanduan, mengurangkan olengan badan dan menambah baik ketepatan stereng. Perubahan suspense bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap keupayaan menunda dan mengangkut beban Ranger yang mendahului kelasnya.

Warna, Harga dan Servis

Ranger didatangkan dalam lapan warna menarik. Warna tersebut ialah Putih Segar (Cool White), kelabu Meteor (Meteor Grey), Aluminium Metallik, Putih Segar (Frozen White) dan Hitam Pekat (Absolute Black). Ia juga menampilkan tiga warna baharu daripada 8 warna itu iaitu Saber (Wildtrak sahaja), warna biru Magnetic dan Biru Cerah (Lightning), selain warna Putih.

Seramai 888 pelanggan pertama yang mendaftarkan Ford Ranger baharu bakal menerima baucar barangan elektrik bernilai RM1,000 sebagai tawaran untuk yang terawal. Tawaran ini berakhir apabila pendaftaran yang ke-888 diterima atau pada 31 Disember 2018, mana-mana tiba dahulu.

Selain itu, Sime Darby Auto Connexion akan menawarkan penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau sehingga 40,000km, kepada pelanggan Ranger yang berjaya mendaftar sebelum 31 Januari 2019.

Ini pula senarai harga bagi varian Ford Ranger

• Wildtrak – dua varian, bermula RM134,888.00
• XLT+ – satu varian, bermula RM124,888.00
• XLT – dua varian, bermula RM109,888.00
• XL – tiga varian, bermula RM90,888.00

Komen anda mungkin membantu