Jangan salah guna fungsi lampu kecemasan

0

Setiap kenderaan dilengkapi dengan lampu kecemasan (hazard lights) atau lampu isyarat berkembar. Lampu kecemasan ini bertujuan memberi isyarat bahawa kereta sedang mengalami masalah atau sedang berhadapan situasi bahaya.

Lampu isyarat berkembar ini seharusnya dinyalakan sewaktu kenderaan berhenti dan tidak bergerak langsung.

Keadaan yang dimaksudkan adalah seperti kereta rosak di tengah jalan yang sibuk, kemalangan dan ketika anda menggantikan tayar kereta ditepi jalan.

Ini bertujuan memberi isyarat kepada pemandu di belakang tentang keadaan kereta anda bagi mengelak kereta anda dilanggar.

Selain itu, anda juga boleh menyalakan lampu kecemasan setelah menyedari terdapat bahaya di hadapan. Ini bertujuan untuk memberi amaran kepada pemandu lain bahawa anda sedang memperlahankan kenderaan. Sebagai contoh, ada kenderaan berhenti di lorong kecemasan.

Namun begitu, masih terdapat segelintir pemandu yang salah gunakan fungsi lampu kecemasan seperti yang kami senaraikan ini:

1. Sewaktu hujan lebat

Pemandu seharusnya tidak menyalakan lampu kecemasan sewaktu hujan lebat. Meskipun niat mereka hanyalah untuk memaklumkan kehadiran kereta mereka kepada pemandu lain, ia mungkin menyebabkan kekeliruan.

Ini kerana pemandu dibelakang tidak tahu sekiranya anda ingin membelok ke kiri atau ke kanan dan ini bakal menyumbang kepada kemalangan.

Cukup lah dengan hanya memasang lampu utama dan pastikan anda memandu dengan lebih cermat sewaktu hujan lebat.

2. Sebagai tanda lurus sewaktu di simpang

Seharusnya pemandu tidak perlu menyalakan lampu kecemasan sebagai tanda untuk terus sewaktu berada disimpang.

Ini kerana lampu isyarat membelok sudah cukup untuk memaklum bahawa pemandu mahu ke kiri atau kekanan dan tidak perlu menggunakan sebarang lampu isyarat sekiranya mahu memandu terus kehadapan.

3. Sewaktu kabus tebal

Sama seperti waktu hujan, anda hanya perlu nyalakan lampu utama atau lampu kabus sebagai tujuan keselamatan. Ini kerana lampu kabus bertujuan untuk mencerahkan sudut jalan di hadapan dan tepi serta membantu meningkatkan kejelasan pemanduan.

4. Sewaktu melalui lorong gelap/terowong

Pemandu seharusnya hanya menyalakan lampu malap (dim) atau lampu utama. Ia sudah cukup untuk menerangkan keadaan jalan dan secara tak langsung sebagai tanda kepada kereta lain dibelakang tentang kehadiran kereta anda.

Apa kata anda?

avatar