Toyota Classics 2018 Tampil Orkestra The Age of Enlightenment, London

160

Konsert muzik klasikal Toyota Classics yang dianjurkan saban tahun kali ini akan membawakan persembahan daripada Orkestra The Age of Enlightenment, London ke Dewan Filharmonik PETRONAS, KLCC. Konsert yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli serta kajian terhadap tenaga diperbaharui oleh dua universiti terkemuka di Malaysia itu akan berlangsung pada 13 November 2018.

Orkestra The Age of Enlightenment mendapat namanya daripada zaman Pencerahan yang terkenal dalam sejarah Eropah, yang meliputi tempoh waktu dari kurun ke-17 hingga ke-19. Mereka merupakan orkestra paling terkemuka seumpamanya, dengan matlamat untuk memberikan persembahan dalam corak asli serta peralatan muzik seperti yang pernah muncul ketika zaman berkenaan. Kumpulan ini dijangka akan menyampaikan persembahan yang memukau melalui muzik dengan penceritaan yang bermakna serta mengujakan.

Orkestra ini akan dipimpin oleh konduktor Steven Devine yang sebelum ini pernah terlibat di dalam persembahan di seluruh dunia selaku pemain harp (Harpsichordist). Beliau telah memimpin banyak persembahan muzik oleh pelbagai kumpulan orkestra, dari aliran polifoni kurun ke-16 hinggalah kepada yang lebih moden. Rakaman Goldberg Variations yang dihasilkannya diangkat sebagai antara yang terbaik oleh majalah Gramophone.

Jom Baca:   Van yang luar biasa! - Toyota Hiace jantung Nissan GT-R

Sebagai tambahan, persembahan ini turut akan menampilkan antaranya penyanyi soprano British, Charlotte Beament,  pemain violin solo Daniel Edgar dan pemain violin Kinga Ujszaszi. 

Di anjurkan sebagai acara tahunan oleh UMW Toyota dan Toyota Motor Corporation sejak 1990, Toyota Classics merupakan sebuah acara untuk tujuan kebajikan. Hasil kutipan jualan tiket dan derma bagi tahun ini akan disalurkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  bagi inisiatif program “Mobilising Youth for Sustainable Change” yang memberi tumpuan untuk memberdayakan sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli. UKM juga telah membangunkan program yang dikenali sebagai Eco Village Resort Project yang membantu lingkungan belia Orang Asli supaya dapat berdikari serta berdaya saing daripada segi sosio ekonomi berbanding dengan masyarakat luar.

Sebahagian lagi hasil kutipan akan disalurkan kepada Universiti Malaya, untuk mendanai kajian berkaitan tenaga yang diperbaharui bagi pembangunan teknologi dan inovasi sistem penyejukan Solar Photovoltaic Thermal (PV/T). Hasil daripada kajian ini akan menyediakan pendekatan yang mencukupi  bagi pembangunan sistem PV/T di masa hadapan dengan kecekapan tinggi pada kadar kos yang rendah. Kajian ini juga akan memberi banyak manfaat kepada penduduk luar bandar terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak agar mereka mendapat akses kepada bekalan elektrik yang lebih baik, stabil dan berterusan.

Jom Baca:   Perlumbaan Toyota Vios Challenge di TGR Festival Pulau Pinang hujung minggu ini

“UMW Toyota Motor dengan kerjasama Toyota Motor Corporation sangat komited untuk membantu masyarakat melalui sumbangan dana hasil daripada kutipan tiket Toyota Classics. Ia telah menyaksikan banyak orchestra terbaik dunia membawakan persembahan mereka untuk dinikmati oleh khalayak di Asia Tenggara dan Malaysia sejak 27 tahun lalu lagi,” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama.

“Kami sangat berbangga untuk memberi sokongan terhadap projek-projek yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dalam usaha untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka. UMW Toyota Motor setakat ini telah menyumbangkan dana sejumlah lebih RM8.6 juta yang diagihkan kepada 67 buah badan sosial, kebajikan dan alam sekitar. Kami akan meneruskan acara ini dalam kalendar tahunan kami untuk membawakan persembahan muzik klasikal terbaik dari seluruh dunia ke Malaysia, dan dalam masa yang sama mengumpul serta menyalurkan dana bagi membiayai program-program yang akan memberi kesan baik kepada masyarakat,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Jom Baca:   Toyota dan Subaru akan bangunkan MR2 baharu dengan 300hp?

Tiket untuk persembahan ini nanti dijual pada harga yang berpatutan, bermula dari RM100, RM150, RM200 dan RM250. Ia boleh dibeli bermula 5 September 2018 di Box Office, Dewan Filharmonik PETRONAS. Tempahan tiket juga boleh dibuat melalui laman web toyota.com.my.

Komen anda mungkin membantu